Friday, July 13, 2012

Peliharalah Iman mu!

Assalamualaikum...


Alhamdulillah, sudah hari Jumaat rupanya. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan takziah kepada Kak Azra dan keluarga, salah seorang pelajar PhD di sini di atas pemergian ayah tercinta semalam. Sempat juga kami sekeluarga menghadiri majlis bacaan Yaasin dan solat hajat ghaib untuk ayahanda Kak Azra. Setiap yang bernyawa, pasti ada kematian. Tiada yang kekal kecuali Allah. Semoga kita yang hidup ini mengambil iktibar atas setiap kematian. Kita hanya musafir di bumi ini yang hanya sementara sahaja. Rehat dan rawat! Kerana di sana menanti alam yang kekal abadi....






Saya baca kembali Hadith Ke-2 daripada buku Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya oleh Al-Ustadh Mustafa 'Abdul Rahman) yang ada disebutkan tentang Rukun Iman. Rasulullah telah menerangkan Rukun Iman itu iaitu engkau beriman kepada Allah dan malaikat-NYA, segala kitabNya, para RasulNya, dan kepada hari kemudian  dan kepada taqdir baikNya dan taqdir burukNya. Semuanya ada 6 rukun yang menjadi dasar 'aqidah atau kepercayaan kita. Maka di atas inilah dilaksanakan 'amal yang tidak akan berubah atau dipinda oleh tempat dan zaman!


" Tasdiq dengan hati, iqrar dengan lidah, dan beramal dengan sekalian rukun"


Ramai orang hanya nampak Rukun Islam!
Betul atau tidak? Ramai orang lihat Islam itu apabila kita hanya melakukan melafazkan syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji. Tetapi ramai yang tidak sedar bagaimana pula untuk beriman dengan Rukun Iman itu.


al-Hassan Al-Basri berkata : 


"Bukanlah iman itu dengan perhiasan dan cita-cita akan tetapi iman itu apa yang teguh dalam hati dan dibenarkan dia oleh amal. Barang siapa berkata (iqrar) baik pada halnya ia mengerjakan amal yang tidak baik, nescaya Allah tolak perkataannya. Dan barangsiapa berkata dan berbuat baik, nescaya mengangkat akan dia oleh amalnya"  


Iman bertambah dan berkurang
Ya, hakikat iman itu boleh bertambah dan berkurang.




" Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNYA kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhanmereka bertawakkal " ( Al-Anfal : 2)   



"...Adapun orang-orang yang beriman maka surah ini menambah imannya" (At-Taubah : 124)


Maka kita sebagai seorang mukmin perlulah berusaha untuk menambah iman kita atau pelihara supaya kita tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan iman kita kerana iman boleh jadi membawa kita ke syurga atau sebaliknya.


Dalam hadith qudsi, Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Allah berfirman : 


" Tidak ada satu perbuatan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Aku oleh hamba-Ku yang lebih Aku cinta selain daripada kewajipan-kewajipan yang Aku fardhukan ke atasnya. Hamba-Ku akan terus (beramal) menghampiri diri kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila aku sudah mencintainya maka Aku (menjadikan) pendengaran yang dengannya dia mendengar, penglihatannya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memukul dan kakinya yang dengannya dia berjalan".


Kasih dan sayangnya Allah pada kita semua....

No comments:

Post a Comment