Tuesday, October 4, 2011

ILAH dalam Dua Kalimah Syahadah

Assalamualaikum....


Teringat sewaktu di sekolah dahulu, kita diajar cara mengucapkan dua kalimah syahadah. Kita diajar terjemahannya dalam bahasa ibunda. Kita diajar solat, puasa, zakat, mengerjakan haji - rukun-rukun Islam dan Iman. Alangkah bagusnya kalau kita diajar juga konsep dua kalimah syahadah, tuntutan syahadah serta perkara-perkara yang membatalkannya. Andai kata kita seorang yang rajin membaca, insyaAllah kita boleh mencari, tetapi jika sebaliknya kita tidak akan tahu walaupun sebenarnya perkara-perkara yang kita buat boleh membatalkan dua kalimah syahadah.


Mari kita melihat konsep sebenar pengertian ILAH yakni ALLAH dalam kalimah syahadah yang sering kita lafazkan.


1. ILAH sebagai tempat tumpuan pengabdian
Allah menjadikan manusia sudah pastinya membawa satu tugas yang besar iaitu mengabdikan diri kita kepada-NYA. Pengabdian sepenuhnya hanya untuk Allah tidak kepada yang lain kerana tidak ada yang lain yang berhak disembah atau diperhambakan diri kepada-NYA.





2. ILAH sebagai tempat perlindungan
Setiap kali solat, kita pasti mengaku bahawa hanya Allah sahaja tempat memohon pertolongan. Tidak ada selain Allah untuk mendapat perlindungan. Selainnya adalah palsu dan lemah belaka. Manusia tidak perlu gentar kepada makhluk lain kerana mereka sedar bahawa yang boleh memberi perlindungan hanya Allah sahaja.




3. ILAH sebagai tumpuan kecintaan
Sesiapa yang menumpahkan kecintanya kepada Allah, Allah juga akan cinta kepadanya. Begitulah sebaliknya kepada mereka yang bencikan Allah, maka Allah akan membalas dengan setimpal atas apa yang mereka lakukan. Sifat kecintaan kepada Allah yang begitu tinggi telah menyebabkan generasi awal telah diangkat oleh Allah sebagai satu ummah yang gemilang.





4. ILAH sebagai pemberi rezeki
Semua rezeki yang manusia perolehi di atas dunia ini adalah kurniaan Allah. Walaupun pada zahirnya manusia yang menghulurkan bantuan tetapi semuanya dari Allah malah sebiji beras atau setitis air pun manusia tidak boleh memberi tanpa keizinan-NYA. Manusia hanya pemegang amanah untuk membelanjakan harta ke jalan yang diredhai dan bukan ke jalan maksiat. Kita yang sentiasa mendapat rezeki dari Allah patut bersyukur dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan larangan-NYA.




5. ILAH sebagai sumber perundangan
Kita wajib mengakui bahawa segala peraturan daripada Allah. Tidak boleh mencipta hukum lain selain dari hukum Allah. Sama ada hukum halal atau haram adalah bidang kuasa Allah, manusia tidak ada hak langsung untuk mengubahnya. Allah juga memberi amaran kepada mereka yang hendak berhukum dengan hukum selain Allah sebagai "Jahiliyyah". Bagaimana hendak maju dan bahagia kalau kita menghukum kesalahan manusia dengan undang-undang lain sedangkan manusia juga dijadikan oleh Allah dalam keadaan lemah dan terpaksa bergantung harap pada Allah?



6. ILAH sebagai ketaatan
Perlu mentaati Allah secara mutlak. Taat selain dari Allah bukan satu yang mutlak selagi ia tidak melanggar batasan hukum yang digariskan oleh Allah.




Dan Allah lebih mengetahui...









1 comment:

  1. Alhamdulillah..
    Peringatan yg sangat menyedarkan diri saya kembali. :)

    Jazakillah khair kak najwa. <3

    ReplyDelete