Tuesday, April 10, 2012

Selamat Hari Ulangtahun Perkahwinan Yang ke-30 Buat Ibu dan Ayah!

Assalamualaikum semua...


Alhamdulillah, saya bersyukur kepada-NYA atas segala nikmat yang Allah berikan. Sungguh nikmat Islam dan Iman, nikmat yang paling besar. Bangun pagi tadi saya masih lagi dikelilingi insan-insan penyeri hidup saya, suami dan anak-anak. Hari ini juga genap 30 tahun perkahwinan ibu dan ayah. Pagi-pagi lagi saya sudah menghantar sms sebagai penganti diri tanda ingatan tarikh ini kepada ibu ayah. 


Selama 30 tahun perkahwinan, ibu ayah dikurniakan 4 orang anak perempuan dan 3 orang sudahpun mendirikan rumahtangga. Panggilan opah dan atok bermula apabila kehadiran cucu yang pertama iaitu Ahmad Harraz diikuti Ahmad Zaki dan yang terbaru Asyfa Rania. Sudah setahun saya tidak balik kampung. Rindunya pada ibu dan ayah sangat menebal walaupun boleh dikatakan setiap hari saya menelefon mereka.








Di dalam al-Quran banyak memuatkan kisah-kisah cinta. Antaranya ialah kisah cinta seorang wanita kepada pemuda tampan iaitu kisah Nabi Yusuf as menerusi surah Yusuf, kisah cinta seorang ibu kepada puteranya iaitu ibunda Musa kepada Musa as dan kisah cinta seorang ayah kepada puteranya iaitu Nabi Ya'qub kepada Nabi Yusuf a.s. Demikianlah kisah-kisah di dalam al-Quran yang boleh kita jadikan panduan. Sungguh cinta yang paling agung sudah tentu cinta hamba kepada Penciptanya! 


Perkahwinan yang didasari dengan niat yang ikhlas insyaAllah pasti berkekalan. Jika bukan keredhaan Allah yang diharapkan sudah tentu suami cepat merasa jemu dan si isteri pula tidak sanggup untuk berkorban. Pelbagai masalah akan timbul yang akhirnya membawa kepada keretakan dalam rumahtangga. Dalam soal kekeluargaan, Islam telah meletakkan beberapa garis panduan supaya ia sentiasa mengikut syariat yang ditetapkan. Bermula daripada mencari pasangan sehinggalah kepada ilmu keibubapaan. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang soal mencari pasangan dan sebagainya. Cukuplah tarikh ini mengingatkan saya untuk menjadi yang terbaik buat suami dan usia perkahwinan ibu ayah boleh dijadikan inspirasi.  

No comments:

Post a Comment