Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Thursday, August 21, 2014

Selamat Kembali Malaysia

Assalamualaikum...

Apa khabar semua pembaca? Terima kasih kerana sudi singgah di blog yang sudah usang ini. Hampir setahun saya tidak menulis. Terlampau banyak sangat perkara yang saya buat dan fikirkan. Pekara yang saya rasa penting sehingga boleh menahan saya dari menulis blog (aktiviti yang sangat saya idam-idamkan sebelum ini). Alhamdulillah, dari hari ke hari kehidupan itu tetap diteruskan. Life goes on...

Untuk pengetahuan semua, saya dan keluarga sudah kembali ke tanah air setelah 6 tahun kami berpeluang bermusafir di bumi Perth, yang pada saya sangat istimewa. Terlalu banyak pengalaman tawa dan nangis kami telah lakarkan. Sehingga ke saat ini, saya masih mengingat bibit-bibit indah di sana. Mula-mula sampai di sini, boleh kata saya menangis setiap hari dengan keadaan serba kekurangan. Senang saya katakan, kami sekeluarga membina semula kehidupan. Untuk pengetahuan, kami tidak ada rumah lagi ketika ini dan hanya membawa barang-barang mana yang perlu sahaja kerana semuanya dalam kontena - menunggu beberapa minggu lagi untuk tiba.

Alhamdulillah suami saya berjaya juga dapatkan homestay yang lengkap dengan furniture untuk kami tinggal sebaik sahaja tiba. Kami menyewa homestay tersebut selama 3 minggu dan akhirnya terus kami jadikan rumah sewa sehingga sekarang disebabkan tuan rumah juga ingin pindah ke utara Malaysia. Alhamdulillah kepulangan kami disambut dengan ibu ayah serta mama abah. Terima kasih banyak-banyak buat mereka. Semoga Allah membalas segala bantuan mereka yang mana mereka datang dari utara ke selatan Malaysia. Mama pula menemani kami selama 3 minggu.

Bermulalah kehidupan kami di sini dan merasai pengalaman baru...

Allah itu tidak akan menduga hamba-NYA...
Diberi ujian dalam susah dan senang...
Supaya sentiasa kembali kepada-NYA...


                                      
                                               Kontena bersedia di bawa ke pelabuhan


       
           Terima kasih buat teman-teman yang membantu. Ramai sangat yang datang dan ini 
           hanyalah sebahagian kecil.


        
                     Selamat bertemu kembali! Sarah, Salwa dan Midah tiada dalam gambar... :(


                                       
                                            Sarah dalam gambar. Midah dan Salwa tiada :(

Tuesday, April 10, 2012

Selamat Hari Ulangtahun Perkahwinan Yang ke-30 Buat Ibu dan Ayah!

Assalamualaikum semua...


Alhamdulillah, saya bersyukur kepada-NYA atas segala nikmat yang Allah berikan. Sungguh nikmat Islam dan Iman, nikmat yang paling besar. Bangun pagi tadi saya masih lagi dikelilingi insan-insan penyeri hidup saya, suami dan anak-anak. Hari ini juga genap 30 tahun perkahwinan ibu dan ayah. Pagi-pagi lagi saya sudah menghantar sms sebagai penganti diri tanda ingatan tarikh ini kepada ibu ayah. 


Selama 30 tahun perkahwinan, ibu ayah dikurniakan 4 orang anak perempuan dan 3 orang sudahpun mendirikan rumahtangga. Panggilan opah dan atok bermula apabila kehadiran cucu yang pertama iaitu Ahmad Harraz diikuti Ahmad Zaki dan yang terbaru Asyfa Rania. Sudah setahun saya tidak balik kampung. Rindunya pada ibu dan ayah sangat menebal walaupun boleh dikatakan setiap hari saya menelefon mereka.








Di dalam al-Quran banyak memuatkan kisah-kisah cinta. Antaranya ialah kisah cinta seorang wanita kepada pemuda tampan iaitu kisah Nabi Yusuf as menerusi surah Yusuf, kisah cinta seorang ibu kepada puteranya iaitu ibunda Musa kepada Musa as dan kisah cinta seorang ayah kepada puteranya iaitu Nabi Ya'qub kepada Nabi Yusuf a.s. Demikianlah kisah-kisah di dalam al-Quran yang boleh kita jadikan panduan. Sungguh cinta yang paling agung sudah tentu cinta hamba kepada Penciptanya! 


Perkahwinan yang didasari dengan niat yang ikhlas insyaAllah pasti berkekalan. Jika bukan keredhaan Allah yang diharapkan sudah tentu suami cepat merasa jemu dan si isteri pula tidak sanggup untuk berkorban. Pelbagai masalah akan timbul yang akhirnya membawa kepada keretakan dalam rumahtangga. Dalam soal kekeluargaan, Islam telah meletakkan beberapa garis panduan supaya ia sentiasa mengikut syariat yang ditetapkan. Bermula daripada mencari pasangan sehinggalah kepada ilmu keibubapaan. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang soal mencari pasangan dan sebagainya. Cukuplah tarikh ini mengingatkan saya untuk menjadi yang terbaik buat suami dan usia perkahwinan ibu ayah boleh dijadikan inspirasi.  

Thursday, September 29, 2011

Telefon - pengubat rindu

Assalamualaikum...


Sudah seminggu saya tidak mendengar suara ibu dan ayah. Suara itulah pengubat hati di kala kejauhan, walaupun di mana-mana hatta sewaktu di sekolah menengah sekalipun. Saya bersekolah di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh dan rumah saya di Bota. Jarak perjalanan 45 minit. Masih lagi dekat jika dibandingkan sekarang. Saya masih ingat ketika berada di tingkatan 1, bilik saya RPBB berdekatan dengan telefon awam. Sudah tentulah saya menggunakan peluang ini untuk menelefon rumah sekerap yang mungkin. 3 kali sehari, pagi petang dan malam - 10 sen setiap kali panggilan. Cukup mendengar suara dan bertanya khabar membuatkan hati  saya tenang.


Saya terus menelefon ibu tadi. Bertanya khabar ibu, ayah dan adik-adik. Tak ketinggalan dan memang tak pernah tinggal rasanya bertanya khabar tentang kucing-kucing yang berada di rumah. Ibu kurang sihat sedikit kerana sejak akhir-akhir ini kerap membantu ayah di kebun. Sakit belakang, sakit urat. Namun, sudah pun berjumpa doktor dan makan ubat, Alhamdulillah.. Ibu ayah sangat suka berkebun. Tanamlah apa-apa pun, InsyaAllah berhasil. Ibu ada menanam cili sewaktu duduk bersama saya di sini. Sehat pokok cili ibu. Tapi bila ibu pulang,  faktor cuaca dan juga saya yang tak pandai mengadun pokok menyebabkan mati pokok cili ibu. Dalam seminggu saya akan pastikan telefon ibu atau ayah sekali atau dua. Berbeza dengan suami yang akan menelefon mama mungkin 2 minggu sekali dengan masa boleh sampai 1 jam atau lebih. 


Apa yang penting, bertanya khabarlah kepada ibu dan ayah. Mereka mesti menunggu kalian telefon. Jika rumah dekat, boleh melawat. InsyaAllah, tak rugi jika kita bertanya khabar. 




Ibu dan Ayah